mcmc
Sejarah

Sejarah

 

SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN SIMPANG PELANGAI (SKSP)

 

 

Sekolah Kebangsaan Simpang Pelangai mula didirikan pada tahun 1936 di atas tanah seluas 5 ekar ,2 rod dan 10 pol. Pada masa tersebut sekolah ini dinamakan Sekolah Melayu Manchis. Guru yang pertama mengajar di sekolah ini ialah Encik Sidin bin Abdullah. Pada masa tersebut beliau adalah guru besar dan satu-satunya guru yang mengajar di sekolah ini. Beliau mendapat pendidikan di SITC,Tanjung Malim.

Sekolah Kebangsaan Manchis ini telah dibina secara bergotong-royong. Pada masa itu,bangunan sekolah hanyalah berlantaikan batang nibong,beratapkan nipah dan berdinding buluh. Kumpulan murid pertama ketika itu adalah seramai 37 orang. Murid hanya duduk secara bersila di atas lantai. Umur murid pada ketika itu tidak mempunyai had tertentu. Bagi mendapat murid untuk belajar di sekolah,guru besar terpaksa masuk ke kampung-kampung dan pergi ke rumah-rumah untuk memujuk ibu bapa dan penjaga supaya menghantar anak mereka ke sekolah. Di peringkat awal sekolah ini hanya terdiri daripada pelajar lelaki sahaja,ini memandangkan tanggapan masyarakat yang masih menebal bahawa anak perempuan tempatnya hanyalah di dapur sahaja.

Dari awal penubuhan hingga ke tahun 1941,mutu pelajaran amatlah rendah. Murid-murid hanya diajar menulis,membaca dan mengira supaya mereka dapat menjadi petani,pekebun,nelayan dan tukang anyam yang lebih baik daripada datuk dan nenek mereka.

Pada tahun 1942-1945,sekolah ini ditutup kerana Perang Dunia Kedua. Pada akhir pemerintahan Jepun,sekolah ini berorientasikan Jepun,murid-murid belajar bahasa Jepun dan menyanyi lagu Jepun.

Selepas perang tamat,nama sekolah ini ditukarkan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Manchis. Kurikulum sekolah juga telah diubah dan berasaskan kepada Penyata Razak (1956). Pada masa ini,bilangan murid mula bertambah dan sekolah juga mula menerima murid perempuan.

Pada tahun 1979,sekali lagi nama sekolah diubah kepada Sekolah Kebangsaan Simpang Pelangai. Nama ini kekal sehingga ke hari ini.

Tahun demi tahun,sekolah ini mencipta banyak kejayaan yang cemerlang bukan sahaja di peringkat zon malahan di peringkat kebangsaan. Sekolah ini juga mengharumkan nama Simpang Pelangai.